Assalam dan Salam Sejahtera.
Saya Zura (bukan nama sebenar).
Saya teringin untuk menerbitkan buku indie saya, tapi saya masih tidak tahu apa format atau kriteria yang perlu ada dalam buku indie saya. Jadi, apa yang patut saya tahu sebelum menerbitkan buku indie saya?
Terima Kasih
Jawapan:
Abang Neon mengucapkan terima kasih kerana sudi bertanya. Masalah adik ni memang berat. Namun Abang Neon akan cuba menjawab sebaik mungkin supaya dapat memberi manfaat dalam adik mengorak langkah menjadi indie.
Pertama sekali adik kena faham apa itu buku 'indie'? Suka untuk Abang Neon jelaskan bahawa Abang sendiri pun tak pasti apa itu buku indie, apa itu indie malah apakah kriteria dan format indie? Tapi jauh di sudut hati, Abang cenderung mengatakan indie sebagai sebuah perjalanan. Sebuah perjalanan yang tiada destinasi. Power tak Abang Neon?
Jadi di sini apa kata kita ketepikan saja dulu soal buku indie kerana Abang Neon akan menerangkan perkara yang lebih mustahak iaitu, bagaimana mahu menerbitkan buku sendiri secara ringkas.
Mula-mula sekali buku apa adik nak tulis? Buku cerita, buku puisi moden, buku cara-cara trengkas atau buku memasak?
Katakanlah adik teringin menerbitkan buku memasak sebab buku memasak ni memang jiwa adik dan adik ada sesuatu yang mahu disampaikan dalam dunia memasak. Lalu adik pun menulis la buku memasak adik dengan sepenuh hati sambil adik gigih memasak, kemudian adik tangkap gambar masakan adik guna kamera yang canggih atau handphone, masak lagi dan ambil gambar masakan sehinggalah cukup segala bahan yang ingin dimuatkan ke dalam buku memasak adik.
Selepas itu apa yang perlu dilakukan? Adik install software seperti Adobe In Design, Serif Page Plus, Scribus atau sebagainya ke dalam komputer dan gunakannya untuk melakukan kerja-kerja susun atur kandungan buku atau layout. Masukkan segala apa yang adik tulis dan gambar gambar masakan. Kalau tak reti adik usha sikit sikit dalam internet kot ada tutorial. Susun atur tu terpulanglah pada adik sama ada adik nak tiru stail buku Chef Wan atau buat stail sendiri yang mana jenis huruf dan desain yang digunakan lebih menonjol dengan sedikit awan larat di bahagian tepi dan gambar masakan diperkemaskan dengan gaya kamera lomo. Segalanya terserah mengikut jiwa dan kemahuan adik. Kuasa di tangan adik.
Selesai kerja-kerja di atas. Adik perlu mendapatkan pencetak. Berapa banyakkah jumlah cetakan yang diimpikan? 200 keping? 3000 keping? Lagi sekali kuasa di tangan adik. Segala risiko dan kemampuan kewangan di tangan adik.
Untuk mencetak buku gaya pro, adik ada dua pilihan. Pertama dengan menggunakan khidmat cetakan POD (Print On Demand) yang mana adik boleh cetak berapa banyak adik suka sama ada sekeping buku, tiga keping buku atau 76 keping buku. Yang kedua menggunakan cetakan offset yang biasanya hanya mengizinkan cetakan melebihi 500 keping. Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri yang melibatkan kos dan kualiti. Ingat, kuasa memilih di tangan adik.
Selepas buku memasak adik siap dicetak, adik tentukan harganya dengan berhemah berdasarkan kos cetak, letrik, bahan memasak, duit tambang bas, panadol, bla bla bla dan adik pun jual. Jual ni macam-macam cara boleh sama ada jual secara online, dari rumah ke rumah, hantar ke pengedar dan sebagainya. Abang Neon nak cerita pun malas. Tapi kalau dah siap cetak adik nak simpan di bawah katil aje pun boleh. Sekali lagi kuasa di tangan adik.
Abang Neon rasa setakat inilah saja yang mampu abang ceritakan sedikit sebanyak. Abang Neon harap adik dapat memahami sedikit sebanyak selok-belok penerbitan buku ini dan mampu mengorak langkah jauh.
Satu pesanan Abang Neon, kalau buku tak laku, adik tulis lagi buku. Tak laku, tulis lagi. Adik memang minat menulis, kan? Tapi kalau buku meletup, adik enjoy.
Yang Benar,
Abang Neon
Jika anda mempunyai pertanyaan, kekeliruan, masalah, kekecewaaan atau luahan perasaan bolehlah diajukan ke neonterbit@gmail.com