Aku beristighfar. Secara tak sengaja aku telah mengumpat sekumpulan makcik yang bakar sampah waktu petang. Kadang-kadang cabaran terbesar yang aku hadapi adalah menegur makcik-makcik yang tenang membakar sampah di depan rumah mereka. Petang itu kalau cuaca sedap, langit berwarna biru dan angin berhembus perlahan maka akan kelihatan makcik-makcik itu membakar sampah mereka. Paling power Pak Haji dan Mak Haji.
Mereka tidak sedarkah bahawa mereka sebenarnya sedang memusnahkan alam sekitar? Di samping itu juga tidakkah mereka sedar bahawa asap yang dihasilkan menghalang cahaya realiti akhir matahari ke tubuh lelaki yang tampan seperti aku yang sedang mencari makna sebenar cinta?
Dalam keadaan baring dan mata tertutup aku mereka-reka cerita aku sendiri. Dalam cerita rekaan aku, aku menciptakan dialog-dialog yang sesuai dengan cerita fantasi tersebut. Untuk Marlini, aku bayangkan tiba-tiba aku mendapat surat tawaran kerja dari bank tempat dia bekerja. Rupa-rupanya CEO bank tempat kerja Marlini merupakan sepupu ayah aku yang telah lama terpisah akibat konflik keluarga. Untuk membalas jasa ayah aku maka CEO itu mengambil aku bekerja dengannya.
Di bank itu aku menjadi bos kepada Marlini. Sejak itu Marlini jatuh cinta kepada aku dan aku selalu membawa Marlini pulang ke rumah aku di sebuah apartment yang mengadap KLCC.
Untuk Doktor Zety pun lebih kurang macam itu juga. Tapi mungkin lebih sedap. Aku bayangkan Wan Ayob mati. Semasa itu Doktor Zety menjadi ketua jurubedah untuk pembedahan jantung Wan Ayob. Pembedahan itu gagal. Namun sebelum mati Wan Ayob telah berwasiat kepada Doktor Zety supaya menerima aku sebagai suami.Sejak dari itu aku hidup bahagia hingga beranak lima.
Untuk Najwa aku tiada cerita hendak direka sebelum tidur, jadi aku biarkan.
Untuk Mazlan atau Mar, dia boleh pergi mati. Aku boleh demam sebulan kalau aku mereka cerita untuk dia.
Tangan aku menekan butang play. Lagu Asleep nyanyian The Smiths berkumandang nyaman dalam bilik aku. Aku tidur dalam iman. Aku tidur dengan wajah yang tersenyum.